Seseorang isteri, tidak dinafikan mempunyai tanggungjawab terhadap kedua ibubapa. Melakukan tanggungjawab terhadap kedua ibubapa merupakan tuntutan yang telah ditetapkan oleh syarak.
Firman Allah;
وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Maksudnya;
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”
(Surah Al-Isra’ : 23)
Pun begitu, setelah ijab dan kabul antara dua lelaki dan perempuan, maka sah antara kedua-dua itu sebagai suami isteri. Apabila seseorang perempuan sudah menjadi isteri, maka ketika itu, ketaatan terhadap suaminya perlu didahulukan berbanding terhadap ibubapanya.
DALIL-DALILNYA;
Pertama: Al-Quran
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya;
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka”
(Surah An-Nisa’ : 34)
Kedua : hadis yang riwayatkan oleh Al-Bukhari;
لَا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلَّا بِإِذْنِهِ وَلَا تَأْذَنَ فِي بَيْتِهِ إِلَّا بِإِذْنِهِ
Maksudnya;
“Tidak halal bagi seseorang perempuan itu berpuasa dalam keadaan suaminya tidak ke mana-mana, melainkan dengan izinnya. Tidak boleh seseorang perempuan mengizinkan orang masuk ke dalam rumahnya, melainkan mendapat keizinan dari suaminya[1]”
ISTIDLAL:
Dari kedua-dua dalil yang dikemukakan, menunjukkan kepada kita bahawa dalam perkara yang melibatkan kepada syahwat suami pun, isteri perlu memberikan ketaatan, maka terlebih utama isteri memberi ketaatan selain dari perkara yang melibatkan syahwat.
Justeru, ketaatan terhadap suami melebihi dari ketaatannya terhadap ibubapanya sendiri. Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Imam ahmad dalam kitab Syarh Muntaha Al-Iradah[2].
Ini dikuatkan lagi dengan satu hadis yang telah meriwayatkannya oleh Al-Hakem, lalu disahehkannya. Begitujuga, riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang hasan bahawa Aisyah R.Ha bertanya kepada Rasulullah SAW;
أي الناس أعظم حقا على المرأة قال زوجها قلت فأي الناس أعظم حقا على الرجل قال أمه
Maksudnya;
“Manusia yang manakah yang besar haknya atas perempuan?”. Menjawab Nabi SAW; “suaminya”. Berkata Aisyah; “manusia yang manakah yang besar haknya terhadap lelaki?” menjawab Nabi SAW; “ibunya[3]”
Malah, seseorang perempuan yang mentaati suaminya menyebabkan dia mendapat ruang yang cukup untuk masuk ke syurga Allah SWT.
Sabda Nabi SAW;
إذا صلت المرأة خمسها و صامت شهرها و حصنت فرجها و أطاعت زوجها قيل لها : ادخلي الجنة من أي أبواب الجنة شئت
Maksudnya;
“Apabila seseorang perempuan itu solat lima waktu, berpuasa pada bulan ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya, maka katakanlah kepadanya, masuklah kamu ke dalam syurga daripada mana-mana pintu yang kamu mahu[4]”
HUBUNGAN KEKELUARGAAN
Adalah baik jika isteri tersebut bersekali dalam melakukan ketaatan terhadap suami dan ibubapanya. Jika cara ini diambil, sudah pasti ia tidak melahirkan sebarang kemusykilan dan masalah.
Tidak dinafikan, antara tuntutan Allah SWT terhadap suami dan isteri adalah melakukan kebaikan dan hubungan silaturahim dengan keluarga dan mertua masing-masing. Pun begitu, melakukan kebaikan terhadap ibubapa dan mertua, tidak semestinya dengan menziarahi mereka, malah sudah dikatakan melakukan kebaikan dan mengadakan hubungan silaturahim kepada mereka dengan berhubung menerusi telefon, berutusan surat, e-mail dan sebagainya.
Adapun sekiranya berlaku masalah dalam hubungan kekeluargaan, seperti dengan campur tangan mertua dan ibu bapa akan melahirkan masalah pada keselamatan dan keamanan rumah tangga, maka ketika itu, si isteri hendaklah mentaati perintah suaminya. Apabila suami melarang dari menziarahi keluarganya, maka hendaklah perintah suami itu dipatuhi. Melanggari perintah suami, maka si isteri tersebut sudah boleh dikira sebagai perempuan yang derhaka.
ISYKAL
PERTAMA:
Apakah dikira sebagai dosa, jika tidak menziarahi ibu bapa disebabkan tidak mendapat keizinan dari suami?
JAWAPAN:
Tidak dikira sebagai dosa jika tidak menziarahi ibu bapa disebabkan tidak mendapat keizinan dari suami. Perkara ini disandarkan kepada satu hadis dengan sanad yang agak lemah, iaitu hadis berikut;
كان رجل قد خرج إلى سفر وعهد إلى امرأته أن لا تنزل من العلو إلى السفل وكان أبوها في الأسفل فمرض فأرسلت المرأة إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم تستأذن في النزول إلى أبيها ، فقال صلى الله عليه وسلم " أطيعي زوجك " فمات فاستأمرته فقال " أطيعي زوجك " فدفن أبوها فأرسل رسول الله صلى الله عليه وسلم إليها يخبرها أن الله قد غفر لأبيها بطاعتها لزوجها
Maksudnya;
“seorang lelaki yang keluar bermusafir. Dia telah berpesan kepada isterinya bahawa jangan turun dari tingkat atas kepada tingkat bawah. Bapa isterinya itu tinggal di tingkat bawah. Bapanya ditimpa sakit. Isterinya itu telah mengutuskan seorang perempuan kepada Rasulullah SAW agar memberi keizinan kepadanya turun untuk menziarahi bapanya yang sedang sakit. Nabi SAW bersabda; ”taatilah suami kamu”. Kemudiannya, bapanya meninggal dunia, lalu dia mengutuskan lagi kepada Rasulullah. Nabi SAW bersabda : ”taatilah suami kamu”. Jenazah bapanya dikebumikan. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan seseorang kepada si isteri untuk diberitakan bahawa Allah telah mengampunkan dosa bapanya disebabkan ketaatannya terhadap suaminya[5]”
KEDUA:
Jika suami tidak membenarkan juga menziarahi ibu bapa, sedangkan ibu bapa tidak pernah pun menjadi punca berlaku masalah rumah tangga. Apakah boleh si isteri pergi ziarah juga, tanpa mendapat keizinan dari suami?
JAWAPAN;
Sepertimana yang telah dimaklumkan di atas, ketaatan terhadap suami perlu didahulukan berbanding ketaatan terhadap ibu bapa. Justeru, apabila seseorang isteri telah menziarahi ibubapanya tanpa keizinan suami, tindakan tersebut boleh mengakibatkan isteri tersebut diisytihar sebagai isteri yang derhaka.
Isteri yang derhaka, susah untuk masuk ke syurga, kerana Nabi SAW ada bersabda;
أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَنْهَا رَاضٍ دَخَلَتْ الْجَنَّةَ
Maksudnya;
“Mana-mana perempuan yang mati, dalam keadaan suaminya sentiasa reda dengannya. Makanya, dia akan masuk syurga[6]”
Dari hadis ini, Nabi SAW menyatakan isteri yang mati dalam keadaan suaminya reda dengan kehidupannya semasa hidup bersama, isteri tersebut ditentukan syurga oleh Allah. Sebaliknya, jika isteri tersebut mati dalam keadaan suaminya tidak reda dengannya, disebabkan beberapa tindak tanduk, dan perangainya yang tidak menyenangkan hati suami, maka isteri tersebut ditentukan neraka oleh Allah SWT.
No comments:
Post a Comment